Oleh :
Ismayadi Ismail dan Prof. Madya Dr. Mansor Hashim (Institut Teknologi Maju (ITMA),
Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor)
Ismayadi Ismail dan Prof. Madya Dr. Mansor Hashim (Institut Teknologi Maju (ITMA),
Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor)
KEMAGNETAN
adalah fenomena yang berpunca dari medan sejenis dwikutub yang hanya terbentuk
apabila wujud gerakan cas elektrik. Bagaimanapun, sehingga kini kes tunggal
momen magnet neutron yang tak bercas masih lagi belum difahami sepenuhnya.
Menurut Prof. David Jiles dalam bukunya yang bertajuk “Introduction to magnetism and magnetic materials”,
apabila medan magnet dalam suatu ruang wujud maka terdapat variasi tenaga dalam
ruang tersebut; ini bermakna terdapat kecerunan tenaga yang menghasilkan suatu
daya yang boleh dikesan melalui kelajuan pergerakan cas elektrik dalam medan
tersebut.
Contoh termudah kewujudan daya ini
ialah putaran yang terhasil oleh jarum kompas apabila ada medan magnet.
Kewujudan kemagnetan yang paling berguna kepada masyarakat moden sentiasa
dikaitkan dengan arus elektrik dalam tiga kes: pertama, arus elektrik menjana
medan magnet dalam ruang di sekeliling dawai yang dilaluinya. Medan ini
menjadi lebih kuat jika dawai dibentuk menjadi gegelung dan bertambah kuat jika
gegelung diisi dengan bahan mudah termagnet seperti besi. Medan boleh dikawal
dengan mengawal arus di dalam gegelung tersebut. Aplikasi ini digunakan dalam
membuat solenoid.