Sunday 7 October 2012

Analisis dan reka bentuk

PENEROKAAN angkasa lepas demi kebaikan manusia sejagat sama ada dari segi ekonomi atau saintifik memerlukan pelaburan yang besar dan jangka masa panjang untuk membuahkan hasilnya yang bakal diperoleh pada masa hadapan. 

Ia merupakan intangible asset yang tidak terhingga nilainya dari segi aplikasi mampu meningkatkan inspirasi pembangunan modal insan, kerjasama antarabangsa untuk pengurusan pengurangan bencana alam, pemantauan Bumi serta komunikasi berteraskan aspek teknologi aplikasi angkasa lepas yang lain. 

Misi angkasa lepas merangkumi komunikasi, pengimejan dan eksplorasi angkasa lepas. 

Dalam usaha penambahbaikan, analisis misi perlu dilakukan secara berbeza berbanding dahulu, bagi mendapatkan kos yang lebih rendah dan untuk mencapai pulangan besar daripada pelaburan angkasa lepas. 

Jadual menunjukkan ringkasan langkah-langkah analisis dan reka bentuk misi yang perlu dilakukan berulang-ulang bagi mendapatkan hasil satelit yang terbaik. 

Kitaran hidup misi angkasa terbahagi kepada empat fasa iaitu fasa konsep, pembangunan terperinci, produksi dan pelancaran serta operasi dan sokongan. 

* Fasa awal iaitu konsep merangkumi fasa pembelajaran awal yang melibatkan definisi luas misi angkasa dan komponennya. 

* Fasa kedua iaitu pembangunan terperinci adalah fasa reka bentuk formal yang merangkumi definisi terperinci komponen sistem dan pembangunan perkakasan dan perisian ujian.

l Produksi dan pelancaran adalah fasa ketiga yang membabitkan pembangunan perkakasan penerbangan dan bumi serta pelancaran sekumpulan satelit yang pertama. 

* Fasa terakhir atau keempat merangkumi operasi dan sokongan yang mana ia merupakan operasi harian sistem angkasa, penyelenggaraan, sokongan dan terakhirnya deorbit atau pemulihan pada akhir kehidupan misi.

Secara umum, misi angkasa lepas terdiri daripada beberapa komponen termasuk
* Analisis Orbit
* Analisis Radiasi
* Analisis Aliran Data
* Analisis Payload,
* Analisis Attitude and Orbital System (AOCS)
* Analisis Power Budget
* Pelancaran satelit, stesen Bumi, mekanikal dan termal.

Analisis orbit adalah antara analisis misi yang paling asas. Analisis perlu dijalankan bagi menentukan jenis dan ketinggian orbit untuk satelit yang ingin dilancarkan. 

Terdapat beberapa jenis orbit yang boleh digunakan termasuk:
* Low Earth Orbit (LEO) dengan ketinggian 200 km- 2000km dari paras bumi
* Medium Earth Orbit (MEO) dengan ketinggian 2000km-36000km,
* Geostationary Orbit (GEO) dengan ketinggian 36000km, Molniya Orbit (orbit dengan kecenderungan 63.4 darjah) dan
* Sun Synchronous Orbit (SSO) iaitu satelit yang segerak dengan matahari.
Jjenis-jenis orbit yang biasa digunakan.
* Analisis Attitude and Orbital Control System (AOCS) dilakukan bagi menentukan ketepatan orientasi satelit bagi tujuan seperti pengimejan bumi dan arahan kepada panel solar terhadap matahari bagi mengumpulkan tenaga. 

Gambarajah menunjukkan keupayaan satelit untuk diorientasikan supaya kamera satelit boleh dihalakan ke arah kawasan yang ingin diimejkan.

Bagi analisis aliran data, analisis perlu dilakukan bagi mengira saiz gambar yang ingin diambil dan disimpan di dalam memori. 

Saiz swath width (SW) dan jumlah strip perlu diambil kira, yang mana ia digambarkan seperti dalam gambarajah 6 di bawah. 

Saiz gambar berkait rapat dengan resolusi yang dapat diberikan oleh kamera di bawah Analisis Payload

Dalam Analisis Payload, saiz penderia dan ketinggian satelit dari paras bumi memainkan peranan penting bagi menentukan resolusi gambar dan swath width

Analisis juga perlu dilakukan terhadap pelancaran bagi memastikan ketepatan orbit satelit yang bakal dihantar oleh pelancar. 

Dua parameter penting yang perlu diambil kira semasa analisis pemilihan pelancar ialah altitud dan kecenderungan orbit satelit.

Dari segi mekanikal, analisis perlu dijalankan bagi memastikan jenis material, saiz dan ketebalan material satelit untuk dijadikan input bagi analisis yang lain. Ini termasuk analisis orbit semasa pengiraan jangka hayat satelit dan radiasi semasa pengiraan dos radiasi. 

Analisis radiasi penting bagi mengira ketebalan dan jenis material satelit supaya satelit selamat daripada kesan radiasi yang tinggi di angkasa lepas. 

Analisis radiasi juga penting bagi mengkaji jenis-jenis komponen elektrik yang perlu digunakan bagi mengurangkan atau memperbaiki kesan radiasi terhadap komponen-komponen elektronik.

Analisis lain yang penting adalah Analisis Termal bagi menganalisis kesan suhu yang berubah-ubah di angkasa lepas mengikut kedudukan satelit. 

Di samping itu, analisis berkenaan juga mustahak bagi memastikan jenis pemanas atau penyejuk aktif dan pasif yang diperlukan.

Dari aspek muat turun data, Analisis Stesen Bumi perlu dijalankan bagi mengira kekerapan jumlah laluan satelit di stesen-stesen bumi di negara ini iaitu Pusat Angkasa Negara (PAN) di Sg Lang, Banting, Selangor dan MACRES Ground Receiving Station (MGRS) di Temerloh, Pahang. 

Data-data satelit seperti data kesihatan komponen-komponen satelit, data pengukuran daripada penderia dan penggerak, dan data imej yang telah ditangkap dengan menggunakan kamera perlu dimuat turun apabila satelit melalui stesen-stesen bumi. 

Secara umumnya, data-data kesihatan komponen dan data pengukuran daripada penderia dan penggerak dimuat turun di PAN, manakala data-data imej dimuat turun di MGRS. 

Kajian misi ini dijalankan dan ditapis berulangkali di peringkat awal sebelum beralih ke fasa berikutnya. 

Selepas analisis-analisis di atas dijalankan, hasilnya menyumbang kepada penentuan jenis misi yang terbaik dan optimum bagi satelit yang akan direka cipta.

No comments:

Post a Comment